Sunday, May 11, 2008

contoh research

PERMASALAHAN PEMBELAJARAN DALAM MATA
PELAJARAN TEKNOLOGI MAKLUMAT: SATU
TINJAUAN DI KOLEJ JURURAWAT;MASTER SKILLS,MAHSA COLLEGE DAN UKM

ABSTRAK: Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh
Mahasiswa/i jururawat dalam pembelajaran mata pelajaran Teknologi Maklumat demi untuk
meningkatkan kualiti pencapaian mahasiswa/i di masa hadapan. Kajian berbentuk tinjauan
ini melibatkan 121 orang mahasiswa/i jururawat dari tiga buah kolej jururawat sebagai sampel,
meliputi semua mata pelajaran Teknologi
Maklumat di Mahsa kolej, Master Skill dan UKM. Instrumen
kajian yang digunakan ialah set soal selidik . Data diproses dengan menggunakan kaedah perisian Statistical Package for
Social Science (SPSS) dengan menghasilkan nilai peratus,
kekerapan, min dan sisihan piawai. Hasil kajian telah dapat mengenalpasti beberapa
masalah yang dihadapi oleh mahasiswa/i jururawat. Antaranya ialah mahasiswa/i tidak mempunyai masa
yang mencukupi untuk membuat ulangkaji, peruntukkan
masa serta persediaan awal untuk mempelajari mata pelajaran Teknologi Maklumat
di kolej masih kurang mencukupi, sukar untuk mendapatkan bahan rujukan,
keadaan fizikal bengkel yang tidak teratur dan selesa, kaedah pengajaran pensyarah yang
membosankan dan pensyarah jarang memberi latihan atau ujian. Hasil kajian juga
mendapati pensyarah lewat mengembalikan hasil kerja, latihan dan ujian yang telah
disemak kepada mahasiswa/i dan soalan-soalan yang dikemukakan oleh pensyarah kurang jelas
serta sukar untuk difahami oleh mahasiswa/i. Justeru disarankan agar pensyarah serta pihak
pentadbiran yang berkaitan lebih peka dengan tahap keberkesanan dan pelaksanaan
mata pelajaran Teknologi maklumat di pusat pengajian tinggi.

Pengenalan
Negara kita telah maju begitu pesat daripada sebuah negara mundur
berasaskan sumber pertanian, meningkat kepada sebuah negara yang telah
mempelbagaikan bidang ekonominya kepada sektor perkhidmatan dan perindustrian.
Matlamat utama yang patut kita tujui ialah menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara merdeka yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mengikut cita rasa dan
acuan kita sendiri tanpa meniru mana-mana negara maju lain.
Masyarakat harus menerima hakikat bahawa sains dan teknologi merupakan
alat untuk meningkatkan kesejahteraan, kekayaan dan kualiti hidup bukan sahaja
masyarakat tetapi juga negara. Berdasarkan kepada cabaran keenam wawasan 2020
iaitu, untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang
mempunyai daya perubahan yang tinggi serta memandang jauh ke depan, yang bukan
sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik
dan teknologi masa depan. Justeru itu dapatlah dijangkakan perubahan yang sedang
dan akan berlaku terhadap masyarakat kita menjurus kepada matlamat tersebut
antaranya dalam aspek pekerjaan, struktur sosial, kebudayaan, politik, kekeluargaan,
pendidikan dan teknologi.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan mata pelajaran
Teknologi Maklumat di pusat pengajian tinngi pada tahun 1996.
Matlamat mata pelajaran ini ialah menyediakan mahasiswa/i yang kenalfaham teknologi,
produktif, inovatif dan kreatif serta mengamalkan nilai-nilai murni secara bersepadu
supaya dapat berfungsi dalam kehidupan harian dan berinteraksi dengan masyarakat
berorientasi teknologi kita dengan berkesan.
Teknologi Maklumat merupakan satu mata pelajaran teknikal yang baru
dilaksanakan untuk mahasiswa/i kejururawatan sebagai salah satu matapelajaran elektif. Mata pelajaran ini
secara amnya adalah lanjutan daripada komponen kemahiran manipulatif dalam mata
pelajaran Kemahiran Hidup yang diajar di peringkat sekolah menengah rendah.
Mercer dan Mercer (1998), menggariskan masalah pembelajaran di kalangan
pelajar dalam tiga kriteria iaitu kriteria kognitif, kriteria afektif dan kriteria
tingkahlaku. Daripada kriteria-kriteria tersebut, telah digariskan beberapa faktor yang
menyebabkan seseorang mahasiswa/i itu mengalami masalah pembelajaran mereka.
Antaranya termasuklah bagi kriteria kognitif iaitu kekurangan aspek kognitif dan
metakognitif, pencapaian akademik yang rendah, masalah penumpuan dan hiperaktif
serta kekeliruan. Manakala bagi kriteria afektif pula masalah pembelajaran
disebabkan oleh faktor-faktor seperti kemahiran sosial yang lemah (interaksi), konsep
kendiri yang lemah, motivasi yang rendah dan tahap emosi. Bagi kriteria tingkahlaku
pula masalah pembelajaran mahasiswa/i jururawat disebabkan beberapa faktor tingkahlaku seperti
tidak mudah menyesuaikan diri, keruntuhan tingkahlaku dan mudah menyerah kalah.


Pernyataan Masalah
Masyarakat yang tidak dapat menguasai sains dan teknologi merupakan masyarakat
yang mundur kerana kualiti warganegara adalah merupakan aset kepada negara.
Menurut Syed Jalaluddin Syed Salim dan Rahim M. Sail (Utusan Malaysia, Sabtu,16
hb. Jun 2001) Pengajaran sains dan teknologi hendaklah menarik dan tidak
membosankan agar dapat ditanam dalam minda mahasiswa/i bahawa sains dan teknologi
mudah dipelajari dan sekali gus memperkukuhkan minat dan sikap positif
terhadapnya.
Penyelidik ingin mengkaji apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh
mahasiswa/i jururawat dalam pembelajaran mata pelajaran Teknologi Maklumat. Dalam
menyelidik masalah pembelajaran di kalangan pelajar, penyelidik juga ingin
mengenalpasti kriteria-kriteria yang menyebabkan seseorang mahasiswa/i itu mengalami
masalah pembelajaran dalam pelbagai aspek. Pensyarah yang berdedikasi serta
berinovatif pendekatan pengajarannya amatlah perlu diperingkat,
demi meyakinkan mahasiswa/i bahawasanya mereka mampu dan boleh menguasai
ilmu sains dan teknologi. Perkara yang agak kritikal di peringkat ini adalah peralatan
dan kemudahan yang mencukupi agar pelajar didedahkan sepenuhnya kepada proses
yang betul untuk menimba ilmu sains dan teknologi maklumat.

Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk meninjau dan mengenalpasti permasalahan yang dihadapi
oleh mahasiswa/i jururawat dalam pembelajaran mata pelajaran Teknologi Maklumat
seperti berikut:
i. Untuk mengenalpasti faktor pengurusan masa yang mempengaruhi
tumpuan mahasiswa/i dalam pembelajaran Teknologi Maklumat.
ii. Untuk mengetahui kemudahan dan kelengkapan proses pengajaran dan
pembelajaran Teknologi maklumat
iii. Untuk mengetahui pengetahuan dan kemahiran pensyarah dalam bidang
Teknologi Maklumta
iv. Untuk mengetahui keberkesanan penggunaan kaedah pengajaran pensyarah
dan penyampaian isi pengajaran mata pelajaran Teknologi
Maklumat
v. Untuk mengetahui keberkesanan proses penilaian dalam pembelajaran
Teknologi Maklumat.

Batasan Kajian
Kajian ini melibatkan mahasiswa/i kolej Mahsa, Master Skill dan UKM, yang mengikuti mata
pelajaran Teknologi Maklumat.
Skop kajian ini hanya mengkaji masalah mengikut persepsi mahasiswa/i terhadap
proses pembelajaran yang mereka hadapi berkaitan faktor pengurusan masa,
kemudahan dan kelengkapan, pengetahuan dan kemahiran pensyarah, kaedah pengajaran pensyarah
serta proses pengujian dan penilaian.

Kepentingan Kajian
Kajian ini adalah penting untuk mengenalpasti sejauhmana permasalahan
pembelajaran di kalangan mahasiswa/i jururwat bagi mata pelajaran Teknologi Maklumat di
pusat pengajian tinggi. Hasil daripada kajian ini akan dapat dimanfaatkan
khususnya oleh pensyarah-pensyarah yang terlibat bagi mempertingkatkan keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini dari masa ke semasa. Pensyarah-pensyarah juga
diharap dapat membentuk strategi pengajaran dan pembelajaran yang bersistematik,
berkualiti dan bersesuaian dengan objektif mata pelajaran Teknologi Maklumat.

Di samping itu kajian ini juga dapat menjadi sumber rujukan kepada pihak
Kementerian Pendidikan khususnya Jabatan Pendidikan Negeri mengadakan kursus-kursus
yang berfaedah untuk pensyarah-pensyarah Teknologi Maklumta dalam meningkatkan
kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai matlamat pelajaran Teknologi
Maklumat.

Metodologi Kajian
Rekabentuk Kajian
Rekabentuk kajian ini adalah berbentuk deskriptif di mana tinjauan dibuat bagi
mendapatkan gambaran dan maklumat berkaitan masalah-masalah yang dihadapi oleh
mahasiswa/i jururwata dalam pembelajaran mata pelajaran Teknologi Maklumt.Kajian deskriptif menerangkan fenomena dengan menganalisis data
deskriptif yang diproses daripada soal selidik atau media–media lain. Dalam kajian ini
gambaran pelbagai masalah yang dihadapi oleh kesemua mahasiswa/i yang terlibat akan
dikaji dari pelbagai sudut berdasarkan beberapa persoalan kajian.



Tempat kajian
Kajian ini dijalankan di sekolah-sekolah menengah di kolej Mahsa,Master Skill dan UKM, yang melaksanakan mata pelajaran Teknologi Maklumat.

Sampel Kajian
Penyelidik menggunakan seramai 121 orang sampel yang dibenarkan dengan
bertujuan untuk menggambarkan keadaan populasi. Pemilihan sampel berdasarkan
sampelan tidak rawak bertujuan di mana penyelidik telah menetapkan sampel kajian
ini terdiri daripada kesemua mahasiswa/i jururawat yang sedang mengikuti mata
pelajaran Teknologi Maklumta di daerah Batang adang, Tengah dan Hilir Perak.

Instrumen Kajian
Dalam kajian ini instrumen yang digunakan ialah soal selidik, yang bertujuan untuk
mendapatkan maklumat mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh mahasiswa/i yang
terlibat dengan mata pelajaran Teknologi Maklumat.
Penyelidik memilih soal selidik sebagai instrumen berdasarkan beberapa
sebab. Di antaranya ialah:
i. Memperolehi data yang lebih tepat dan penyelidik berkeyakinan
bahawa responden dapat memberikan tindak balas yang
berkesan terhadap aspek yang dikaji berbanding dengan kaedah
lain
ii. Boleh membentuk penyelidik berhubung dengan responden dengan
lebih cepat

Kajian Rintis
Sebelum kajian sebenar dilaksanakan, satu kajian rintis akan dijalankan oleh
penyelidik. Tujuan utama pelaksanaan kajian rintis adalah untuk menguji pekali
kebolehpercayaan setiap item dalam soal selidik.
Instrumen yang dibina sendiri oleh penyelidik dan dengan itu kajian juga adalah
berbentuk kajian rintis untuk menguji keobjektifan, kesahan dan kebolehpercayaan
alat. Melalui kajian rintis, kebolehpercayaan soal selidik dapat ditentukan dimana
kebolehpercayaan memberikan darjah ketekalan dan ketepatan instrumen pengukuran.
Instrumen yang mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi akan memberi keputusan
yang tekal atau hampir sama setiap kali ia digunakan dalam situasi yang setara.
Kajian rintis dijalankan terlebih dahulu di UKM. Seramai sepuluh sampel
dipilih secara rawak di kalangan mahasiswa/i yang terlibat dengan mata
pelajaran Teknologi Maklumat.
Data yang diperolehi daripada kajian rintis, telah dianalisis menggunakan
perisian SPSS dan ujian kebolehpercayaan mendapati nilai alpha ialah 0.9366 dimana
ianya mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi.

Analisis Data
Data diperolehi daripada borang soal selidik yang dijawab oleh responden telah
diproses dengan menggunakan komputer melalui program Statistical Package For
Social Sciences (SPSS). Setiap item dianalisis, dikumpulkan mengikut aspek dan
dipersembahkan dalam bentuk jadual peratusan, min dan sisihan piawai.
Daripada data yang dikumpulkan penyelidik dapat mengesan sejauhmana masalah
yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang mempelajari mata pelajaran Teknologi
Kejuruteraan dan akan membuat cadangan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Perbincangan Hasil Kajian
Faktor Pengurusan Masa yang Mempengaruhi Tumpuan Mahasiswa/i Terhadap
Pembelajaran Teknologi Maklumat
Persoalan kajian yang pertama adalah berkaitan faktor-faktor pengurusan masa yang
mungkin boleh menjejaskan tumpuan proses pembelajaran mahasiswa/i. Dapatan dari hasil
kajian menunjukkan pelajar tidak banyak menghadapi masalah berkaitan masa.
Sebahagian besar daripada mereka pandai membahagikan masa untuk belajar dengan
masa untuk beriadah.
Mereka juga dapat menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah mengikut
tempoh yang ditetapkan. Namun begitu terdapat juga beberapa masalah yang
dikenalpasti iaitu mahasiswa/i tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat
ulangkaji di luar waktu kuliah dan persediaan sebelum sesuatu aktiviti
pembelajaran dijalankan.

Faktor Kemudahan dan Kelengkapan yang Digunakan Untuk Proses
Pembelajaran Teknologi Maklumat
Persoalan kajian yang kedua adalah berkaitan faktor kemudahan dan
kelengkapan yang mana turut menjadi punca kepada permasalahan pembelajaran.
Kemudahan dan kelengkapan yang dimaksudkan disini termasuklah alat bantu
mengajar, alat-alat tangan, mesin, bahan-bahan untuk kerja amali, fizikal bilik kuliah
dan sebagainya.
Hasil kajian yang diperolehi, menggambarkan terdapatnya sedikit masalah
yang timbul berkaitan faktor kemudahan dan kelengkapan untuk proses pengajaran
dan pembelajaran. Mahasiswa/i begitu sukar untuk mendapatkan bahan rujukan yang sesuai
dengan mata pelajaran Teknologi Maklumta selain daripada buku teks yang
disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Mereka hanya menggunakan buku
teks sebagai bahan rujukan dan sudah tentulah percambahan pemikiran mereka tidak
begitu meluas. Mohd Salleh (1996), menyatakan bahawa salah satu kriteria untuk
mempastikan matlamat sesuatu kurikulum dapat dicapai ialah kandungan mata
pelajaran dirujuk kepada pelbagai sumber dan tidak terhad kepada penggunaan buku
teks sahaja.
Hasil kajian juga mendapati keadaan bengkel Teknologi Maklumat yang
teratur dan kemas serta peralatan diselenggara dengan baik dapat menarik minat
mahasiswa/i. Ini akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam
suasana yang ceria dan selesa. Pemantauan pensyarah terhadap penggunaan peralatan dan
mesin di dalam bengkel dapat menjamin keselamatan peralatan dan mahasiswa/i itu
sendiri.

Pengetahuan dan Kemahiran Pensyarah Dalam Bidang Teknologi Maklumat
Persoalan kajian yang ketiga adalah berkaitan kepada tahap pengetahuan dan
kemahiran mahasiswa/i yang juga boleh memberi kesan negatif kepada proses pembelajaran
mahasiswa/i.
Hasil kajian yang diperolehi menunjukkan mahasiswa/i memberikan
persepsi positif yang tinggi terhadap pengetahuan dan kemahiran pensyarah mereka. Oleh
itu faktor pengetahuan dan kemahiran pensyarah tidak mendatangkan sebarang masalah
kepada mahasiswa/i dalam proses pembelajaran mereka. Beberapa kajian lepas
menunjukkan bahawa persepsi positif mahasiswa/i terhadap pengajaran pensyarahnya akan
mempengaruhi pencapaian akademik mereka.

Kaedah Pengajaran Dan Penyampaian Pensyarah Dalam Proses Pengajaran
Persoalan kajian yang ke empat ini cuba mengenalpasti permasalahan yang mungkin
dihadapi oleh mahasiswa/i disebabkan oleh kaedah pengajaran pensyarah ketika proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
a. Pada keseluruhannya, hasil kajian ini menggambarkan bahawa pensyarah-pensyarah
Teknologi Maklumta di Master Skills, Mahsa Kolej dan UKM menggunakan kaedah yang bersesuaian dan berkesan dalam
menyampaikan isi pengajaran. Kajian juga mendapati pensyarah mereka sering
menggunakan alat bantuan mengajar semasa proses pengajaran. Hasil
penyelidikan pakar-pakar teknologi barat juga telah mendapati bahawa
penggunaan alat bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran banyak
memberi faedah kepada para pendidik dan mahasiswa/i (Ahmad Jaffni, !989).
Walau bagaimanapun terdapat juga masalah yang timbul hasil daripada kajian
ini iaitu sebahagian besar mahasiswa/i berasa bosan mengikuti mata pelajaran Teknologi
Maklumat kerana pensyarah jarang menggunakan kaedah pengajaran yang berbeza
untuk menarik minat dan perhatian mereka.

Proses Penilaian Dalam Pembelajaran Teknologi Maklumat
Persoalan kajian yang kelima ini adalah berkaitan permasalahan yang dihadapi oleh
Mahasiswa/i melalui proses penilaian yang dibuat oleh mahasiswa/i.
Hasil kajian ini mendapati proses pengujian dan penilaian yang dibuat oleh
pensyarah telah dilaksanakan untuk memperbaiki kelemahan mahasiswa/i. Pensyarah-pensyarah
menyediakan soalan-soalan berpandukan kepada sukatan pelajaran dan membuat
penilaian yang adil terhadap latihan atau tugasan yang diberikan. Namun begitu
terdapat juga masalah yang dikenalpasti melalui kajian ini. Pensyarah jarang memberi
latihan atau kerja rumah kepada mahasiswa/i dan ada ketikanya mahasiswa/i kurang jelas tentang
setiap kehendak soalan yang dikemukakan oleh pensyarah. Terdapat juga pensyarah yang lewat
memulangkan hasil kerja mahasiswa/i yang telah disemak. Sungguhpun masalah yang
timbul ini dianggap remeh, namun implikasinya kepada mahasiswa/i secara tidak langsung
akan menjejaskan proses pembelajaran mereka.

Rumusan
Melalui penganalisaan data yang dibuat dan perbincangan mengenai hasil dapatan
dapat dirumuskan bahawa terdapat beberapa masalah yang menjejaskan proses
pengajaran dan pembelajaran Teknologi Maklumat. Antara masalah yang dapat
dikenalpasti daripada kajian ini ialah:
a. Mahasiswa/i tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat ulangkaji mata
pelajaran Teknologi Maklumat di luar waktu kuliah. Jumlah masa
yang diperuntukan untuk mata pelajaran Teknologi Maklumat juga masih
kurang mencukupi. Mahasiswa/i juga tidak mempunyai banyak masa untuk
membuat persediaan sebelum sesuatu aktiviti pembelajaran dijalankan
b. Mahasiswa/i berasa sukar untuk mendapatkan bahan rujukan yang sesuai dengan
mata pelajaran Teknologi Maklumta. Mereka menggunakan buku teks
sepenuhnya sebagai rujukan dalam pembelajaran.
c. Mahasiswa/i merasa bosan ketika belajar mata pelajaran Teknologi
Maklumat kerana ada ketikanya pensyarah hanya menggunakan buku teks sahaja
dan tidak menggunakan kaedah pengajaran yang berbeza dalam sesi
pengajaran
d. Pensyarah jarang memberi latihan atau kerja rumah kepada mahasiswa/i setelah tamat
setiap bab yang diajar. Hasil kerja, latihan dan ujian yang telah disemak oleh
pensyarah tidak dipulangkan dengan kadar segera kepada mahasiswa. Soalan-solan yang
dikemukakan oleh pensyarah kurang jelas dan ada ketikanya mahasiswa/i sukar untuk
memahaminya.

Cadangan
Hasil daripada perbincangan dan rumusan di atas penyelidik mengemukakan beberapa
cadangan yang mungkin dapat membantu pihak-pihak tertentu bagi meningkatkan
lagi pencapaian pelajar di dalam mata pelajaran Teknologi Maklumat. Kajian yang
dijalankan ini bolehlah diperkemaskan lagi khususnya kepada semua penyelidik yang
berminat untuk menyambung kajian ini supaya tahap pencapaian pelajar di dalam
mata pelajaran Teknologi Kejuruteraan di negara ini meningkat.

Cadangan kepada pensyarah-pensyarah yang berkenaan
a) Memberi penjelasan yang lebih terperinci serta bimbingan yang
berterusan kepada para mahasiswa/i dalam usaha untuk membina serta
memupuk kesedaran diri dan sikap yang positif tentang kepentingan
mata pelajaran ini.Pensyarah mencadangkan kepada mahasiswa/i agar membuat
satu jadual harian yang praktikal dengan mengambil kira masa untuk
membuat ulangkaji serta masa untuk beriadah
b) Sentiasa memastikan keadaan fizikal bengkel dalam keadaan bersih,
menarik, selamat, ceria dan selesa. Pastikan peralatan dan kelengkapan
bengkel selamat digunakan, selalu diselenggara dan sentiasa
mencukupi.
c) Pensyarah perlu mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
disamping membuat perancangan yang teliti. Penggunaan alat bantu
mengajar haruslah bersesuaian dan berkesan supaya timbul minat yang
mendalam mahasiswa/i di dalam mata pelajaran ini. Pengajaran mestilah
berpusatkan pelajar. Wujudkan interaksi dua hala sewaktu proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
d) Selalu memberi latihan dan ujian kepada mahasiswa/i. Ujian dan latihan
perlulah disemak dengan teliti dan kembalikan kertas ujian atau latihan
yang telah disemak itu dengan segera supaya mahasiswa/i dapat
memperbaiki kesalahan.

Cadangan kepada pihak pentadbiran yang berkaitan
a) Pihak yang terlibat khususnya Kementerian Pendidikan serta pihak
pentadbiran sekolah perlu membuat pemantauan dari semasa ke semasa
bagi memastikan alat bantu mengajar mencukupi dan bersesuaian untuk
proses pengajaran dan pembelajaran serta memberi penekanan kepada
keadaan fizikal dan kelengkapan.
b)
c) Pihak Jabatan Pendidikan Derah dan Negeri disyor mendapatkan laporan
“Post-Mortem” daripada sekolah-sekolah berkenaan dan mengadakan
pertemuan dan perbincangan dengan pengurusan sekolah dan pensyarah-pensyarah
berkenaan bagi mengatasi masalah yang timbul.
Cadangan Kajian Lanjutan
a) Kajian ini bolehlah dilakukan pada peringkat nasional bagi mendapatkan
gambaran sebenar mengenai permasalahan yang di hadapi oleh mahasiswa/i
dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Teknologi
Maklumat
b) Kajian terhadap pensyarah-pensyarah Teknologi Maklumat berkenaan dengan
kekangan-kekangan yang dihadapi oleh mereka dalam pelaksanaan mata
pelajaran ini.
c) Kajian ini boleh juga dilakukan terhadap kesesuaian kurikulum yang sedia
ada bagi mata pelajaran Teknologi Kejuruteraan selaras dengan
perkembangan teknologi yang begitu pantas dewasa ini.

Penutup
Setelah perbincangan dan kesimpulan dari kajian ini dibuat secara keseluruhannya di
dapati permasalahan yang timbul dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Teknologi Maklumat akan dapat diatasi secara beransur-ansur melalui pendekatanpendekatan
yang sistematik dan berkesan. Aspek persepi mahasiswa/i terhadap pengajaran
pensyarah yang positif seharusnya dikekal serta ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya
ianya menjadi salah satu pendorong untuk pelajar meminati mata pelajaran Teknologi
Maklumat.
Hasrat dan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju
sepenuhnya mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020 mungkin tidak terlaksana
sekiranya generasi muda hari ini tidak diberi pendedahan yang sewajarnya berkaitan
perkembangan teknologi terkini. Guru-guru merupakan orang yang paling penting dan
bertanggungjawab dalam mendidik anak bangsa kearah kecemerlangan dan penentuan
halatuju pelajar mereka.

1 comment:

Unknown said...

thank you for sharing this post! helped me much! x may Allah bless ;))